Wednesday, October 8, 2008

Wednesday, September 24, 2008

OBS akhirnya kau tiba jua

Pada tahun 1969, abang sulungku yang ketika itu belajar di Tingkatan 5, aliran Inggeris di Sekolah Menengah Linggi, Port Dickson telah terpilih untuk mengikuti program Outward Bound School (OBS) di Lumut, Perak selama sebulan. Ketika itu dia baru sahaja berumur 17 tahun – masih muda, bertenaga dan memang suka sebarang aktiviti lasak.

OBS Lumut merupakan sekolah ‘outdoor’ yang didirikan untuk membentuk peribadi mulia dan terbaik di kalangan rakyat negara ini. OBS Lumut adalah sekolah outdoor pertama ditubuhkan di Asia pada tahun 1952 dan setakat ini ribuan individu terdiri dari kakitangan kerajaan dan swasta telah berjaya mengikuti program OBS.
Jasa OBS memang terlalu banyak untuk disenaraikan. Kepada mereka yang telah terpilih dan dihantar mengikuti program OBS sudah tentu dapat menilai akan manfaat yang diperolehi. Para peserta yang telah ke OBS termasuklah ribuan penjawat awam, swasta, para cendiakawan dan pak menteri. Namakan sahaja, di senarai OBS akan terselit nama-nama kecil dan besar pada catatan rekod sekolah tersebut yang lebih dikenali sebagai OBS.

OBS bukan sekolah biasa, ia sekolah luar biasa yang telah berjaya memainkan peranannya yang tersendiri. Selepas beberapa tahun kewujudannya barulah kerajaan mewujudkan pusat-pusat bina semangat di seluruh negara yang ciri-cirinya mirip OBS.
Pemergian abangku ke OBS Lumut membuat aku dan keluarga sekelian gembira. Aku pasti dia terpilih bukan kerana nasib tetapi berdasarkan rekod peribadinya. Ia begitu aktif dalam pengakap, gimnastik dan juga merupakan seorang pengawas di sekolah. Atas piawaian yang ada pada dirinya, maka pemilihannya adalah bertepatan sekali untuk mewakili dirinya dan juga sekolah.

Suatu ketika selepas tamat menduduki Tingkatan 3, pernah abangku menyatakan hasratnya kepada ibu untuk menjadi kelasi kapal belayar keseluruh dunia. Ibu tidak merestui hasrat abang ketika itu, takut berjauhan dengan anak kesayangannya dan juga khuatir mungkin anaknya tidak mampu menghadapi arus gelombang ketika berada di perantauan kelak yang sudah tentu sekali mencabar dan asing buat dirinya.
Maklum sahaja waktu itu abangku masih lagi muda, mentelahan pula pengisian agama masih belum menebal. Adalah penting sebarang tindak tanduk anak perlu mendapat restu ibu terlebih dahulu untuk mendapatkan keberkatan.

Akhirnya, abangku berjaya mengikuti program OBS yang jarang-jarang diperolehi oleh pelajar ketika itu. Sebaik sahaja balik ke rumah, dia telah menceritakan segala pengalaman pahit manis dan keseronokan ketika mengikuti program OBS. Kami kagum dan terpesona mendengar ceritanya semasa sebulan berada di OBS Lumut.

Kulitnya kelihatan agak hitam sedikit, maklum sahaja terpaksa berjemur ketika mengikuti program yang diadakan luar bilik kuliah. Semangat abangku kelihatan tinggi sekali dan semua aktiviti OBS dapat diikuti dengan jayanya walau pun ada program yang diikuti agak mencabar. Antara program yang mencabar ialah berkeno keliling Pulau Pangkor, camping secara solo, repelling dan aktiviti berhalangan.

Diatas kegigihan abangku mengikuti program OBS itu, ia akhirnya terpilih sebagai salah seorang pelatih OBS yang berjaya memperolehi status ‘merit’ di atas kebolehan yang ditunjukkan ketika berkursus. Apa yang abangku lalui telah membuatkan diriku bercita-cita sepertinya untuk ke OBS suatu hari kelak. Lagi cepat lagi bagus buat diriku.

Sebenarnya saya berhasrat hendak ke OBS sebelum melangkah ke alam pekerjaan dan tidak mengetahui organisasi pun ada menghantar pekerjanya ke OBS. Lagi umur kita muda ketika berada di OBS adalah lebih baik kerana tenaga sudah tentu berbeza berbanding jika kita sudah berumur. Tetapi sayang sekali hasrat tersebut tidak kesampaian. Selepas 24 tahun; iaitu pada tahun 1993, ketika saya berumur 39 tahun, baru saya berpeluang ke OBS ketika bertugas di ITM.

Syukur Alhamdulillah, akhirnya hasrat saya ke OBS tercapai juga akhirnya walau pun terpaksa menunggu satu tempoh yang agak lama - hampir suku abad. Sesungguhnya Allah s.w.t memang maha kuasa dan maha pengasih - jika kita memohon kepadanya, lambat laun niat dan hasrat baik seseorang itu akan dimakbulkan juga olehNya.

Cuma yang membezakannya – cepat atau lambat saja hasrat tersebut termakbul. Walau pun OBS yang saya ikuti sekadar program OBS eksekutif selama 10 hari, namun ia telah memberikan saya satu pengalaman berguna, kepuasan dan kenangan tidak ternilai dalam hidup saya.

Saya percaya, kini OBS masih lagi relevan dan perlu didokong dan disokong akan kewujudannya dalam merelisasikan matlamat yang telah ditetapkan buat OBS.
Walau pun penantian dan peluang untuk ke OBS mengambil masa 24 tahun, bahawasanya ianya bukan satu penyeksaan buat diriku, tetapi dilihat mampu memupuk sifat kesabaran dalam diriku sendiri. Sifat sabar dan sanggup menunggu 24 tahun adalah satu kejayaan besar buat diriku dan ianya akan tersemat dalam cacatan sepanjang hidup ini.

Baru mencuba blog

Salam Ramadhan,

Saya ini baru sahaja nak belajar menulis blog. Nak kata pandai tak adalah tetapi setakat hendak bertukar pendapat, fikiran dan pengalaman itu tiada masalah. Pengalaman sekadar 24 tahun bekerja dengan kerajaan sebagai pentadbir dan pensyarah di salah sebuah IPTA di Lembah Kelang. Bidang saya lebih kepada pengurusan, keusahawanan dan sukan.



Minggu lepas saya teringat rakan karib yang agak lama tidak berjumpa. Setiap kali saya mempunyai perasaan sedemikian, Allah s.w.t akan ketemukan saya dengannya. Alhamdulliah, hari saya menerima panggilan telefon darinya untuk beliau berjumpa saya. Kami berbual lebih kurang setengah jam di bilik saya dan pada akhir perbualan beliau telah menghadiahkan saya sebuah buku bertajuk 'Fadhilat Amal'. Semoga Allah memberi sebesar fadilat di bulan puasa kepada rakan saya tadi kerana menghadiahkan saya buku tersebut. Insyaallah, saya akan cuba meluangkan masa untuk membacanya.